Monday, February 16, 2009

YANG BERNAMA SUAMI

Salam..dah lama aku tak update blog ni. Sejak mula- mula aku buka blog ni aku tak pernah update langsung. Member- member pun dok tanya..kenapa tak update? Masa kat universiti dulu aku rajin menulis…tapi sekarang…almaklumlah…dengan kerja di sekolah, tuisyen kat rumah masa untuk menulis jadi tak banyak. Ada ketika tu…datang idea mencurah- curah. Bermain di fikiran. Cuma tak dizahirhan dalam bentuk tulisan. Hari ini aku agak lapang…so, aku decide untuk update blog ni.
Malam semalam, masa aku dah off tv nak masuk tidur aku terkejut dengar suara jiran aku bergaduh suami isteri. Cukup jelas butir perkataan yang mereka luahkan. Si isteri marahkan si suami kerana selalu balik lewat. Si suami pula kata..apasal pulak tak balik lewat…bila balik awal, si isteri asyik berleter. Serabut fikiran. Aku tersenyum. Aku kata pada isteri…kita masuk tidur lagi bagus. Biarkan mereka selesaikan masalah mereka. Cuma di kesempatan aku menulis blog ni, aku ingin berkongsi dengan kawan- kawan semua sebuah bicara. Bicara ini buat setiap insan yang bernama suami. Tujuannya untuk berkongsi. Apa yang baik, diteladani. Apa yang buruk, dijauhi. Sama- sama kita hayati bicara ini.
Bicara ini buat insan yang bernama suami
Yang sentiasa mengharapkan keindahan abadi
Keindahan yang bermula dari
Sebuah rumahtangga
Untuk kita nikmati bersama
Dengan si dia…isteri kita
Mungkin kata-kata ini lebih terasa
Kalau kita luahkan secara bersahaja
Namun ada baiknya di ketika- ketika tertentu
Sentuhan makna dilembutkan
Bahasa diperindahkan
Agar tidak terguris si dia
Isteri kita yang tercinta
Ah..perempuan
Kata pujangga mereka seperti angin
Lembutnya melenakan
Ributnya menggusarkan
Adakalanya mereka seperti ibu
Menyaji kasih..menghidang sayang
Adakalanya mereka seperti anak
Ingin dibelai, minta dimanjakan
Sekali-sekala seperti nenek
Berleter seadanya, merungut semahunya

Pertama keikhlasan
Kedua kebijaksanaan
Hulurkan simpati, taburkan empati
Kata yang dari hati, akan turun kehati
Ucapkanlah kepadanya: Sayang..deritamu, dihatiku

Bila dia merajuk
Pandai- pandailah memujuk
Buka telinga, tajamkan deria
Dengar, amati suaranya
Teliti dengan hati terseni
Rasional atau emosi?
Kalau ternyata dari emosi
Belailah emosi itu
Jangan dihadapi secara rasional
Mereka tak akan terdaya mengunyah hujah
Berilah beribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik
Namun..mereka tetap melulu
Kerana fikiran sudah berjerubu
Sebaliknya perhaluskan kata
Perindahkan bahasa
Jinakkan perasaan
Hadiahkan senyuman
Dan kalau masih gagal
Gunakan sentuhan
Semarakkan belaian
Masih gagal juga?
Tunggu sahaja rajuknya reda
Emosi isteri bagai riak- riak air di dalam cawan
Jangan digoncang
Buat selamba
Lambat laun gelombang akan tenang
Air di cawan kan kita minum jua
Tapi awas!
Kalau ternyata rajuknya berfakta
Masamnya berdata..malah ilmiah pula
Ini rajuk taraf tinggi
Yang perlu ditangani berhati- hati
Kalau ternyata benar
Apa salahnya kita terima
Diam dan koreksi diri
Mengaku dan kemudian berjanji
Tidak akan mengulanginya lagi
Ingat..tidak kalah dengan mengalah
Katakan.. Sayang, abang alpa
Bisikkan…Darling , I lupa
Kemudian hulurkan tangan, pintalah kemaafan
Pendekatan Cassanova, tapi hati suci
Kadang- kadang dengan sedikit memberi
Kata akan banyak menerima
Merajuk isteri seperti mangga muda
Rasanya masam tetapi
Kalau kena cicahnya
Enaknya akan terasa
Ingat, api yang panas
Padam oleh salju yang dingin

Kadang-kadang bila mereka merungut
Bahkan kadangkala mengugut
Minta aksesori dan perabot
Minta villa di tepi laut
Atau banglo di tepi tasik
Sedangkan kita bukan Shah Jehan
Yang mampu bina Taj Mahal buat isterinya
Tetapi isteri pula persis Nur Jehan
Yang minta petanda keagungan cintanya
Katanya: Abadi cinta kanda dengan permata
Sedangkan di tangan kita cuma cincin tembaga
Aduh…peritnya mengukur cinta
Dalam ukuran mayam dan ‘carat’
Atau menimbang setia
Menerusi Bursa Saham papan utama
Kasih isteri turun naik
Mengikut kadar tukaran RM dan dolar
Katakanlah…ringgit bukan segala galanya
Bukan itu maksud perkahwinan dahulu
Tuhan tidak meletakkan bahagia rumahtangga pada harta
Kalau bahagia pada istana
Di mana keadilan Tuhan
Kalau yang mengecapinya cuma raja- raja?
Kalau bahagia pada emas
Tentu Diana tidak berpisah dengan Charles
Lalu pada saat paling romantis
Di kala suasana sunyi di malam hari
Atau detik paling kudus
Seusai solat bersama
Bisikkanlah…duhai isteriku
Marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta sejati
Marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci
Kita cari harta, tetapi itu bukanlah segala- galanya
Padamu isteri
Istanamu di hati ini
Padamu sayang
Kalung cintamu di jiwa ini